Khamis, 28 Mac 2013

Cara-cara Melaksanakan Pembangunan yang Lestari


Cara-cara Melaksanakan Pembangunan yang Lestari


"Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, sebaliknya kita meminjamnya daripada generasi akan datang. Oleh itu, jagalah alam sekitar supaya anak dan cucu kita dapat menikmatinya." Kata-kata Mahatma Gandhi ini sudah cukup membuktikan bahawa alam sekitar merupakan harta paling berharga yang perlu dijaga kepentingannya. Alam semula jadi menjadi tonggak utama negara sebagai kawasan tadahan hujan, habitat flora fauna dan sumberkayu-kayan. Malangnya, Hari Bumi yang disambut setiap 22 April bagaikan tiada kesan apabila sumber-sumber alam ini masih lagi rakus diterokai untuk manusia menikmati pembangunan. Oleh itu, kita perlu merencanakan pembangunan yang mapan atau pembangunan lestari. Pembangunan mapan atau pembangunan lestari merupakan gabungan antara pembangunan yang maju dengan pemuliharaan dan pemeliharaan alam sekitar. Kita perlu menitikberatkan pembangunan yang seimbang. Sebagai rakyat yang bertanggungjawab, kita harus melakukan anjakan paradigma untuk mewujudkan pembangunan yang lestari dengan melakukan beberapa pendekatan yang pragmatik.

      Program kitar semula memainkan peranan yang penting dalam menyokong dasar strategik kerajaan bagi pengurusan alam sekitar dan sumber semula jadi yang mapan dan lestari. Secara spesifik, program ini bertujuan untuk mengurangkan intensiti pencemaran dan sisa daripada aktiviti pembandaran dan perindustrian, di samping memastikan alam sekitar bersih dan sihat supaya dapat memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat. Amalan kitar semula harus bercambah, berakar dan menghijau di setiap pelosok tanah air. Amalan kitar semula boleh dijalankan di peringkat nasional, kawasan, komuniti, serta individu. Oleh itu, kejayaan program kitar semula banyak bergantung kepada kerjasama yang erat dalam kalangan semua pihak. Semua pihak perlulah menjadikan kitar semula sebagai amalan hidup. Pelaksanaan program kitar semula ini mesti diteruskan secara berpanjangan, bukannya bermusim seperti hangat-hangat tahi ayam.  Usaha untuk memastikan program ini berjaya perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, khususnya generasi muda yang bakal mewarisi teraju kepimpinan negara kelak. Tegasnya, program kitar semula dapat mencapai pembangunan yang lestari, berkualiti dan seimbang.

      Selain itu, orang ramai digalakkan menggunakan petrol tanpa plumbum bagi kenderaan bermotor. Mencari alternatif selain minyak juga adalah penting bagi tujuan mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar. Dewasa ini, kajian bagi menghasilkan minyak enjin biomass daripada tumbuh-tumbuhan sedang giat dijalankan. Contohnya, di negara kita, ahli sains telahpun menemukan sejenis minyak daripada kelapa sawit yang boleh mengurangkan pencemaran udara tanpa menjejaskan kecekapan enjin. Sungguhpun penemuan ini masih terlalu baharu untuk dipastikan sama ada praktikal ataupun tidak namun penemuan ini patut dijadikan satu titik permulaan bagi meningkatkan usaha kita ke arah mencapai konsep pembangunan lestari. Oleh itu, penggunaan petrol tanpa plumbum turut membantu dalam melaksanakan pembangunan lestari.
 
Salah satu langkah lain yang dapat digunakan untuk mewujudkan pembangunan lestari ialah pihak berwajib perlu menjatuhkan hukuman terhadap  individu atau organisasi yang telah didapati bersalah memusnahkan alam sekitar semata-mata untuk kepentingan diri sendiri. Pihak berwajib seperti Kementerian Sains, Teknologi, dan Alam Sekitar wajar menguatkuasakan undang-undang yang sedia ada untuk menghukum pihak-pihak yang berkenaan. Hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan pihak terbabit mencemarkan dan memusnahkan alam seperti mengenakan dendaan yang tinggi. Selain itu tindakan penguatkuasaan undang-undang hendaklah dilaksanakan tanpa sikap memilih bulu dan dilakukan secara tekal dan tidak seperti melepaskan batuk di tangga. Individu dan organisasi yang mencemarkan alam biasanya tidak serik dengan hukuman yang dikenakan. Mereka akan mengulangi perbuatan keji ini jika hukuman yang dikenakan terhadap mereka tidak begitu berat. Malahan ada yang sanggup membayar denda kerana mencemarkan alam sekitar kerana mereka tahu denda tersebut hanya sekali sahaja. Mereka bebas melakukan kesalahan setelah menjelaskan denda yang dikenakan. Oleh itu pihak berwajib mestilah lebih tegas dalam mengenakan hukuman terhadap pihak yang merosakkan alam sekitar. 

      Di samping itu, pihak sekolah hendaklah memperkenalkan pendidikan alam sekitar kepada murid-murid sekolah. Pendidikan alam sekitar melibatkan pelbagai aspek yang menjurus ke arah pengekalan alam yang sejahtera. Satu kurikulum yang khusus perlu digubal agar pendedahan yang sistematik dapat dilaksanakan. Kurikulum ini boleh diselitkan dalam mata-mata pelajaran lain dan boleh juga dijadikan mata pelajaran khusus. Hal ini bertujuan untuk menyemaikan kesedaran secara lebih berkesan. Murid sekolah khususnya yang belajar di sekolah rendah wajar didedahkan dengan pengetahuan tentang alam sekitar dengan lebih sistematik. Jika sejak kecil mereka diberikan pendedahan sedemikian, mereka akan berasa lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar apabila mereka dewasa nanti kerana alah bisa tegal biasa. Langkah ini akan melahirkan generasi yang dapat menguruskan pembangunan negara yang lestari dan mapan. Jadi, pengenalan pendidikan alam sekitar di peringkat sekolah merupakan satu langkah untuk mewujudkan pembangunan yang lestari. 

      Jika kita lihat dari sudut yang lain pula, aktiviti penanaman semula perlu dilakukan. Hal ini dikatakan demikian kerana  penanaman semula dapat menggantikan pokok-pokok yang telah ditebang untuk melakukan projek pembanguan negara. Dengan ini, keseimbangan alam sekitar dan ekologi negara tercapai. Sesungguhnya, memang tidak dapat kita nafikan bahawa negara kita perlu membangun untuk mencapai negara kelas pertama. Namun begitu, kita tidak boleh bertindak mengikut nafsu tanpa memikirkan risiko yang bakal menimpa. Kita haruslah memiliki minda yang lestari iaitu setiap pokok yang ditebang perlu diganti kembali. Pengusaha kayu balak dan pihak pemaju tidak harus bersikap bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan mereka seharusnya berminda lestari dalam memastikan pembangunan lestari tercapai. Ironinya, pembangunan lestari dapat dicapai melalui aktiviti penanaman semula.
 
      Sebagai konklusinya, terdapat pelbagai langkah yang dikenal pasti dapat membangunkan negara dengan lestari jika dilaksanakan dengan penuh iltizam. Dalam hal ini, semua pihak perlulah bekerjasama untuk memastikan langkah-langkah yang dirancangkan dapat dilaksanakan dengan berkesan kerana alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan. Jika pembangunan lestari terbantut, generasi akan datang pasti menghadapi masalah alam sekitar yang lebih buruk. Kerjasama dan kesungguhan semua pihak menyelesaikan masalah ini diharapkan dapat  mewujudkan pembangunan yang seimbang tanpa melakukan kemusnahan alam sekitar. Semoga generasi cucu cicit kita dapat menikmati kemajuan dan pembangunan negara  dengan diselimuti  kehijauan alam sekitar.

Selasa, 26 Mac 2013

Program Kitar Semula

               
Program Kitar Semula

Definisi Kitar Semula

Terdapat banyak definisi mengenai kitar semula. Namun definisi yang sering kali digunakan ialah suatu proses untuk mengubah bahan yang menjadi sisa kepada suatu sumber yang mendatangkan nilai (Sumber: sisa@my.Malaysia).  Terdapat beberapa jenis bahan buangan atau sampah yang dijana oleh kita boleh dihasilkan sebagai satu barangan baharu ataupun barangan yang sama dengan memproses semula barangan tersebut.


Tahukah anda bahawa setiap hari kita akan menghasilkan sampah? Sampah ataupun sisa pepejal merupakan sesuatu yang tidak digunakan dan diperlukan lagi yang dijana daripada aktiviti komersial, agrikultur dan industri. Sampah terdiri daripada pepejal, cecair dan gas.( www.medcities.org) . Untuk mengurangkan jumlah sampah yang dihasilkan oleh masyarakat, salah satu langkah yang kita harus amalkan ialah KITAR SEMULA.




Kenapakah kita perlu mengamalkan kitar semula?


1) Mengurangkan penjanaan sampah sarap ke tapak pelupusan sampah.


2) Mengurangkan pencemaran udara kesan daripada pembakaran hutan (untuk membina tapak pelupusan sampah).


3) Mengurangkan pencemaran udara kesan akibat pembakaran sampah secara terbuka.


4) Mengurangkan pencemaran sungai dan laut akibat daripada pembuangan sampah secara berleluasa.


5) Mengelakkan pencemaran bau akibat daripada pengurusan sampah yang tidak dilaksanakan secara sistematik.


6) Menjana pendapatan dengan mudah.


7) Kitar semula merupakan amalan yang mudah dilaksanakan dan tidak memerlukan masa yang lama untuk melaksanakannya.


8) Mengurangkan penggunaan sumber yang baharu untuk dijadikan bahan baharu seperti kulit kayu yang digunakan untuk menghasilkan kertas.


9) Bahan yang boleh dikitar semula boleh dijadikan bahan-bahan sumbangan kebajikan.


10) Mengelakkan kepupusan flora dan fauna.







Tahukah anda di Malaysia terdapat pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan yang menyokong program yang berkaitan dengan kitar semula ini? Amalan kitar semula ini merupakan salah satu amalan gaya hidup lestari. Semua ini menunjukkan bahawa amalan kitar semula merupakan amalan yang SANGAT BAIK !!!  Jadi marilah kita bersama-sama memulakan amalan gaya hidup ini tidak kira dimana jua kita berada. Secara tidak langsung kita dapat membantu memelihara kehijauan bumi kita dan membantu menjana pendapatan terutamanya kepada golongan terkebawah.



Apakah barangan yang kita boleh kitar semula?

1) Kertas

- Surat khabar lama, buku, majalah lama,kertas, kotak, sampul surat, kalendar  
  dan sebagainya


2) Aluminium dan besi

- Tin minuman, foil aluminium dan barangan logam


3) Plastik

Beg plastik, botol mineral, botol syampo, botol minuman, bekas makanan   
  plastik dan sebagainya


4) Pakaian

- Pakaian-pakaian lama


5) E-waste

- Barangan elektrik seperti komputer lama, radio dan sebagainya


Barangan yang tidak boleh dikitar semula:


  1)      Tin cat

  2)      Tong sisa toksik

  3)      Sel kering

  4)      Mentol

  5)      Tingkap rumah

  6)      Aluminium foil

  7)      Bekas styrofom

  8)      Lampin pakai buang kanak-kanak

  9)      Bakas pembalut makanan

   10)     Kertas tisu



Tong Kitar Semula


    Tong kitar semula merupakan salah satu bahan dalam proses kitar semula iaitu bagi proses pengasingan. Proses pengasingan sisa pepejal atau sampah merupakan proses penting. Oleh itu, penyediaan set tong kitar semula adalahpenting tidak kira tong tersebut merupakan yang mahal atau dibuat sendiri.  Kebanyakan tong kitar semula yang terdapat di Malaysia merupakan tong  yang telah disediakan oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan. Terdapat juga tong yang telah disediakan oleh agensi bukan kerajaan (NGO) yang peka terhadap pentingnya amalan kitar semula. Pada kebiasaannya tong kitar semula akan diwarnakan dengan tiga warna yang berbeza mengikut fungsinya yang berbeza iaitu warna biru, coklat dan jingga.


 

Set Tong Kitar Semula Coklat, Biru dan Jingga.


                                           
Fungsi warna biru yang terletak pada salah satu tong kitar semula ini adalah untuk menggumpul kertas, tong coklat untuk menggumpul kaca dan tong jingga untuk menggumpul tin aluminium dan plastik.   


Bahan Buangan Yang Boleh Dikitar Semula

botol plastik

tin minuman


botol kaca




surat khabar

Petikan "Pencemaran Air"


PENCEMARAN AIR

Air merupakan nadi kehidupan manusia. Tanpa air, manusia bukan sahaja menghadapi masalah untuk meneruskan aktiviti kehidupan malahan juga akan mati kehausan. Demikianlah pentingnya air kepada kita.

Namun begitu, sumber air khususnya di negara kita sering dicemari oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Sumber air dicemari dengan sampah sarap serta bangkai dan najis. Lebih daripada itu, sumber air dicemari pula oleh tumpahan minyak serta sisa toksik.

Pencemaran air menimbulkan beberapa kesan yang negatif kepada manusia. Yang pasti haiwan akuatik seperti ikan, udang, serangga air akan pupus sedikit demi sedikit. Bukan itu sahja, tumbuhan akuatik termasuk batu karang juga akan mengalami nasib yang sama.

Pencemaran air juga menyebabkab air berbau busuk dan dicemari kuman. Lebih mencemaskan lagi, sumber air yang tercemar tidak selamat untuk diminum. Justeru, untuk mendapatkan bekalan air yang bersih lagi selamat, kita terpaksa membayar harga yang lebih mahal daripada kebiasaanya.


Rancangan Pengajaran Harian


RANCANGAN PENGAJARAN HARIAN TAHUN EMPAT

Butiran Am  :
            Tarikh                         :           01 Februari 2013
            Masa                          :           10.30 pagi – 11.00 pagi (30 minit)
            Tahun                         :           4 Kenyalang
            Bilangan murid           :           39 orang (12 Lelaki, 27 Perempuan)
            Umur                          :           10 tahun
            Mata pelajaran           :           Bahasa Melayu
            Tema                          :           Lestari Alam
            Tajuk                          :           Bumi Tercemar

Hasil Pembelajaran  :
Standard Kandungan  :
4.1       Mengemukakan idea, pandangan, dan pendapat tentang sesuatu perkara secara terperinci, tepat dan tersusun.
Aras 1 (i) Mengamati topik perbincangan untuk memberikan pandangan                 yang relevan.
Standard Pembelajaran :
1.5       Memberikan penjelasan tentang sesuatu perkara yang tersurat dan tersirat.
Aras 2 (i) Menerangkan maklumat yang tersurat dan tersirat tentang                                 sesuatu peristiwa.

Objektif Pelajaran  : Pada akhir pembelajaran ini, murid dapat :
i.              memberikan pandangan yang relevan mengenai topik yang dibincangkan;
ii.             menerangkan maklumat yang tersurat dan tersirat berdasarkan bahan yang diberikan;
iii.            menyatakan mesej dan nilai yang terdapat dalam bahan.

Sistem Bahasa  : i. Tatabahasa       : ayat penyata, ayat tanya
                             ii. Kosa kata          : pencemaran, sisa toksik
                             iii. Intonasi              : ayat penyata, ayat tanya


Pengisian Kurikulum : i.   Ilmu                   : Kajian Tempatan, Sains
                             ii.  Nilai murni        : mencintai alam sekitar, prihatin, kerjasama  
                 iii. Kemahiran bernilai tambah :
a)     Kemahiran berfikir          : menjana idea, mengelaskan, merumus,  
b)     Kecerdasan pelbagai      : nilai murni

Bahan Bantu Mengajar  : i. Power point;
                                           ii.  Klip video;         
                                           

Pengetahuan Sedia Ada :
i.        Murid-murid terdedah dengan keadaan bumi yang tercemar.
ii.       Murid-murid mengetahui punca yang menyebabkan berlakunya masalah  
       pencemaran air.
iii.    Murid-murid terdedah dengan kempen ‘Kitar Semula’.


Langkah / Masa
Isi Pelajaran
Aktiviti Pengajaran Dan Pembelajaran
Catatan

Set induksi
(5 minit)
Gambar bahan buangan
-  botol plastik
-  tin minuman
-  surat khabar
-  botol kaca
          
i.     Guru menunjukkan gambar pelbagai bahan buangan di hadapan kelas.
ii.    Guru bersoal jawab dengan murid-murid berkaitan gambar bahan buangan yang ditunjukkan.
iii.   Guru mengaitkan set induksi dengan tajuk pelajaran pada hari ini.
BBM :
   i.   Power point

Teknik :
   i.   Bersoal jawab

Nilai murni :
   i.   Prihatin
  ii.   Mencintai alam sekitar

Langkah 1
(15 minit)
Klip video tentang pencemaran alam



.
i.     Guru menayangkan sebuah klip video tentang pencemaran di hadapan kelas.
ii.    Guru bersoal jawab dengan murid berkaitan klip video yang dipamerkan.
iii.   Murid-murid diminta untuk memberikan pendapat mengenai topik yang dibincangkan.
F.U. 4.1. A.1 (i)
Teknik :
   i.   Bersoal-jawab
  ii.   Menyatakan pendapat

BBM :
   i.   Klip video
(Lampiran 1)

Nilai murni:
   i.   Mencintai alam sekitar

Langkah 2
(10 minit)
Petikan tentang pencemaran air.

i.    Guru menayangkan petikan tentang pencemaran air kepada murid-murid.
ii.   Murid-murid diminta untuk membaca petikan tersebut secara senyap dan cuba memahaminya.
iii.  Guru berbincang dengan murid-murid bagi mengenal pasti isi yang tersurat dan isi yang tersirat berdasarkan petikan itu.
iv.  Guru menunjukkan isi tersurat dan isi tersirat yang telah dikenal pasti.
F.S. 1.5. A.2 (i)

KBT :
   i.   Kemahiran berfikir
-     Menjana idea

BBM :
   i.   Power point

Nilai murni:
   i.   Prihatin


Langkah 3
(15 minit)
Program ‘Kitar Semula’

  i.   Guru menerangkan kepada murid-murid mengenai program ‘Kitar Semula’.
 ii.   Guru menunjukkan maklumat secara ringkas tentang program tersebut.
iii.   Guru menunjukkan gambar tong sampah yang telah diguna pakai dalam program itu.
iv.   Murid-murid diminta untuk mengelaskan gambar-gambar sampah yang ada ke dalam tong sampah yang betul.
KBT :
   i.   Kemahiran berfikir
-   Mengelaskan
BBM :
   i.   Power point

Nilai murni :
   i.   Prihatin
  ii.   Mencintai alam sekitar

Langkah 4
(10 minit)
Kuiz
  i.   Guru membahagikan murid-murid kepada beberapa kumpulan.
 ii.   Wakil setiap kumpulan diminta berdiri dan menjawab soalan yang dikemukakan.
iii.   Sekiranya betul, kumpulan itu akan diberikan bintang sebanyak dua.
iv.   Kumpulan yang mengumpul bintang paling banyak akan dikira sebagai juara.
KBT :
   i.   Kemahiran berfikir
-       Menjana idea

BBM :
   i.   Power point

Nilai murni :
   i.   Kerjasama

Penutup
(5 minit)

Rumusan
a.    Isi pelajaran
b.    Nilai murni

Tayangan Video
i.       Guru menayangkan klip video ‘Hijau’.
ii.      Guru berbincang dengan murid-murid tentang pelajaran yang telah mereka pelajari.
iii.     Guru bertanya kepada murid-murid mengenai nilai-nilai murni yang telah mereka peroleh berdasarkan isi pelajaran.
KBT :
   i.   Kemahiran berfikir
-    Merumus

BBM :
   i.   Klip video

Nilai murni :
   i.   Mencintai alam sekitar
  ii.   Prihatin